Our Solutions & Services

Recent Activities

18 May 2013 - Bru-HIMS dilaksanakan secara berperingkat-peringkat

Kementerian Kesihatan akan memulakan Sistem Maklumat dan Pengurusan Penjagaan Kesihatan Negara Brunei Darussalam (Bru-HIMS) iaitu penggunaan rekod elektronik pesakit di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) secara berperingkat-peringkat.

Peringkat pertama adalah bagi Perkhidmatan Kemalangan dan Kecemasan serta Perkhidmatan Radiologi yang akan bermula pada 21 Mei ini.

Perlaksanaan Bru-HIMS itu dijelaskan oleh Penguasa Perubatan Hospital RIPAS dan Konsultan Bahagian Bius, Dr. Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dalam Sidang Media yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kesihatan, di sini.

Beliau menjelaskan ianya  merupakan kesinambungan Projek Sistem Bru-HIMS berikutan dengan pendaftaran yang dimulakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd. Yusof pada 13 Mac lalu yang mana sehingga kini seramai 16,000 pendaftaran dibuat di Daerah Brunei dan Muara.

“Ke arah itu orang ramai adalah diperlukan untuk mendaftarkan diri masing-masing dan ahli-ahli keluarga ke dalam Sistem Bru-HIMS secepat mungkin, jika belum berbuat demikian. Ini adalah untuk memudahkan pengurusan pesakit dan mengelakkan terjadinya kesesakan atau kelambatan apabila berjumpa doktor di Perkhidmatan Kemalangan dan Kecemasan atau menjalani pemeriksaan Radiologi atau X-ray,” ujarnya.

Prosedur Sistem Bru-HIMS ini, tegasnya, amat  dikehendaki sebelum pesakit berjumpa doktor atau menjalani mana-mana pemeriksaan.

Pendaftaran ini, katanya, penting dan sangat diperlukan bagi memastikan data peribadi pesakit dimasukkan ke dalam Sistem Bru-HIMS untuk dijadikan sebagai rekod elektronik pesakit.

Menurutnya pula setelah pendaftaran selesai diproses dan disahkan, nombor rekod elektronik pesakit yang baru akan diberikan.

“Pendaftaran boleh dilakukan dengan tiga cara, pertama, orang ramai atau pesakit boleh datang sendiri untuk mengisikan borang pendaftaran di kaunter pendaftaran di Hospital-hospital Kerajaan atau Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan dengan membawa kad pengenalan atau salinan kad pengenalan,” terangnya.

Bagi pendaftaran kanak-kanak yang belum mempunyai kad pengenalan pula, jelasnya, adalah digalakkan menggunakan kad pengenalan ibu atau bapa atau penjaga.

Kedua, jelasnya, orang ramai boleh memuat turun borang pendaftaran Bru-HIMS daripada laman ‘web’ Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn dan mengembalikannya bersama salinan kad pengenalan ke kaunter pendaftaran di Hospital-hospital dan Pusat-pusat Kesihatan.

Sementara cara ketiga, tambahnya, orang ramai boleh mendaftar secara ‘online’ melalui aplikasi bimbit Bru-HIMS (Bru-HIMS Mobile App), bagi pengguna sistem android yang mana aplikasi bimbit boleh dimuat turun melalui aplikasi 'Play Store', manakala sistem Apple pula, pengguna boleh membuat turun aplikasi Bru-HIMS melalui 'Apple Store'.

Menurutnya pada tahap permulaan dan sewaktu peralihan daripada sistem rekod perubatan manual kepada sistem elektronik,  prosedur pengurusan pesakit yang lazim dijangka akan terjejas dan mengakibatkan kelambatan dalam pemberian perkhidmatan.

Bagaimanapun kelambatan tersebut, katanya, hanyalah sementara sahaja sehinggalah semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam telah berdaftar ke dalam Sistem Bru-HIMS.

Ke arah itu, Kementerian Kesihatan, jelasnya, akan berusaha sedaya upaya untuk menangani dan mengurangkan  masalah yang dihadapi.

“Kementerian Kesihatan berharap orang ramai akan sama-sama memahami akan situasi ini dan memohon kerjasama dari setiap peringkat masyarakat supaya akan bersabar, jika ada kelambatan dalam pemberian perkhidmatan pada masa ini dan seterusnya berharap  akan sentiasa memberikan dukungan dan sokongan yang padu agar sistem baru ini diberikan masa untuk dilaksanakan sepenuhnya,” terangnya lagi.

Bru-HIMS menggantikan Fail Rekod Perubatan Pesakit kepada Rekod Elektronik Pesakit yang mana setiap individu di negara ini akan mempunyai satu Rekod Elektronik Pesakit yang mengandungi maklumat dan sejarah perubatan yang komprehensif menjadikannya Satu Pesakit, Satu Rekod.

Antara faedah Bru-HIMS ianya dipercayai dapat mengurangkan masa menunggu selain mengetahui sejarah perubatan pesakit dengan mudah dan cepat, di samping mendapat keputusan pemeriksaan secara ‘online’.

http://www.pelitabrunei.gov.bn/nasional/item/2991-bru-hims-dilaksanakan-secara-berperingkat-peringkat

Top ⬆